Alor Setar: Dua kilang memproses ayam di Kepala Batas di sini diserbu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana didapati menyalah gunakan permit barang kawalan berjadual untuk menyimpan dan menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Serbuan turut disertai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh dalam Op Kita Gempur yang dilakukan di negeri ini, hari ini.
Dalam serbuan jam 9 pagi itu, dua pasukan KPDN melakukan pemeriksaan di dua premis memproses ayam dan mendapati ia mempunyai permit barang kawalan berjadual untuk menyimpan dan menggunakan LPG industri namun mengambil kesempatan menggunakan LPG bersubsidi bagi menjalankan perniagaannya.
Fuziah berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di dua kilang itu, pihaknya bertemu dengan penyelia iaitu lelaki warga tempatan berusia 40-an dan mendapati sebanyak 79 tong LPG bersubsidi digunakan dan berada di premis terbabit.
Beliau berkata, kesemua gas LPG itu disita untuk siasatan lanjut dan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM9,742.90.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan di tiga pasar raya dan pasar mini di Pantai Johor, di sini, dan mendapati sebuah daripada premis terbabit didapati menyimpan barang kawalan iaitu LPG melebihi had simpanan lesen.
Beliau berkata, berikutan itu, pihak KPDN menyita sejumlah 29 LPG yang dianggarkan bernilai RM771.40 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Hasil pemeriksaan di lima premis terdapat empat kes dikesan iaitu menyimpan barang kawalan melebihi had lesen, menggunakan alat timbang yang tidak ditentu sahkan serta dua kes lagi iaitu pemegang permit barang kawalan menggunakan LPG bersubsidi untuk menjalankan perniagaan.
"Jumlah nilai sitaan bagi empat kes terbabit adalah sebanyak RM10,514.30," katanya.