Ribuan kenderaan 'melekat' atas jambatan ekoran nahas jalan raya
Oleh Nur Izzati Mohamad - November 6, 2024 @ 3:07pm[email protected]
Kenderaan yang bertali arus masuk ke Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan luar biasa dipercayai akibat satu laluan terhalang ekoran berlaku kemalangan jalan raya. - Foto tangkap layar media sosial
GEORGETOWN: Ribuan kenderaan termasuk motosikal yang bertali arus masuk ke Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan luar biasa dipercayai akibat satu laluan terhalang ekoran berlaku kemalangan jalan raya pagi ini.
Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook (FB) rata-rata yang melalui jambatan berkenaan kira-kira jam 6 pagi tadi untuk masuk bekerja dan mempunyai pelbagai urusan rasmi menasihatkan merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Ini berikutan terdapat kemalangan yang menyebabkan kesesakan dari Sungai Dua menuju jambatan dianggarkan sejauh 20 kilometer (km) sehingga kenderaan mereka 'tersadai' di atas jalan ekoran tidak boleh bergerak.
Seorang guru yang mahu dikenali sebagai Mira Adila, 32, berkata dia yang bertugas di sebuah sekolah di bahagian Pulau bertolak dari rumah mereka di Tasek Gelugor, dekat sini pada jam 6.10 pagi seperti kebiasaannya.
"Namun, saya tiba di sekolah hampir jam 9 pagi, gara-gara satu kemalangan yang menyebabkan laluan di jambatan terhalang.
"Kereta yang dipandu suami saya tidak dapat bergerak langsung ketika itu, memang melekat habis. Bayangkan, dekat tiga jam baru saya sampai ke sekolah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, keadaan cuaca pada hari ini baik dan sudah biasa melalui kesesakan hampir setiap pagi untuk ke sekolah namun tidak menyangka melalui insiden yang paling buruk.
Bagi seorang pengguna media sosial dengan panggilan 'Cik Nort' berkata, dia terpaksa berpatah semula dan meletakkan keretanya di Terminal Penang Sentral, di sini untuk menaiki feri ke tempat kerja.
"Dan akhirnya (saya buat keputusan) terpaksa kornar (pusing) masuk Butterworth, pi (pergi) kerja naik ferry (feri)
"Kete (kereta) parking (parkir) la kat sana.. Tak sanggup dah (nak hadap)," katanya.
Terdahulu, PLUS Malaysia dalam aplikasi X menasihatkan pengguna jalan raya dekat situ menggunakan laluan alternatif susulan kemalangan teruk yang berlaku di Kilometer 7.7 Jambatan Pulau Pinang menuju Pulau.
Katanya, nahas menyebabkan sebahagian lorong kiri terhalang hingga berlakunya kesesakan luar biasa.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1320464/ribuan-kenderaan-melekat-atas-jambatan-ekoran-nahas-jalan-raya
|