CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14434|Reply: 0

[Kedah] Kuala Kedah dinaiki air akibat fenomena air pasang

[Copy link]
Post time 18-10-2024 10:21 AM | Show all posts |Read mode
Kuala Kedah dinaiki air akibat fenomena air pasang

Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 18, 2024 @ 9:52am[email protected]




Kawasan rumah penduduk di Taman Seri Putra, Kuala Kedah yang dinaiki air laut akibat fenomena air pasang yang berlaku awal pagi tadi. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli





KUALA KEDAH: Lebih 100 rumah di Taman Seri Putra, di sini terjejas dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku, di sini awal pagi tadi.

Tinjauan di lokasi perumahan itu mendapati, penduduk sudah melakukan persediaan lebih awal untuk mengangkat barangan termasuk motosikal yang diletakkan di hadapan rumah.

Selain itu, Pekan Kuala Kedah, Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Seri Putra dan Taman Seri Pantai dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter bermula jam 12 tengah malam tadi.


Mariati Mansor mencuci lantai ruang tamu rumahnya di Taman Seri Putra, Kuala Kedah yang dimasuki air akibat air pasang yang berlaku awal pagi tadi. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Bagaimanapun, paras air kemudian surut sepenuhnya pada jam 2.30 pagi hari ini selepas dua jam kemudian.

Penduduk, Mariati Mansor, 52, berkata air laut masuk dengan cepat ke dalam rumahnya disebabkan hujan pada jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, dia bernasib baik kerana sudah melakukan persediaan berikutan hebahan yang dibuat pihak berkuasa berkaitan fenomena air pasang yang diramalkan berlaku pada 18 hingga 20 Oktober.

"Rumah kami memang selalu masuk air kalau setiap kali air pasang berlaku tetapi kali ini agak teruk sikit kerana disertai selut.

"Saya dah awal-awal lagi letak bata bawah peti ais dan mesin basuh supaya tinggi dan tidak tenggelam," katanya ketika ditemui hari ini.

Penduduk lain, Mohd Saiful Shahrulnizam, 24, berkata dia sempat mengangkat tikar getah selain menyelamatkan motosikal ke tempat lebih selamat sebelum air pasang berlaku jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, dia yang juga nelayan tidak dapat turun ke laut sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dengan fenomena air pasang yang berlaku ini.

Harun Abu Hassan, 48, berkata, dia terpaksa membuang penghadang di depan pintu rumah untuk mengelak air masuk terus ke dalam rumah.

Katanya, langkah itu dilakukan lebih awal kerana bimbang air terlalu laju dan disertai sampah sarap masuk ke dalam rumah.

"Kami buat persediaan awal takut jadi macam tahun lepas kerana ketika itu air pasang berlaku disertai angin kencang dan hujan lebat menyebabkan air naik dengan tinggi.

"Tapi syukurlah malam tadi tiada angin cuma hujan lebat sekejap saja dan air masuk tidak terlalu tinggi tetapi sekitar paras betis saja," katanya yang menganggarkan 100 rumah di kawasan itu dinaiki air akibat air pasang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin turut melakukan tinjauan dan pemantauan di sekitar kawasan Kuala Kedah yang dinaiki air.

Memang ada berlaku kenaikan air berikutan air pasang yang menyebabkan paras air setinggi 3.0 meter namun ia masih terkawal.

"Hasil pemantauan yang kita lakukan mendapati, air laut naik di beberapa kawasan yang kerap dinaiki setiap kali air pasang berlaku tetapi tidak terlalu tinggi.

"Kita turut menggerakkan 20 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang berhampiran laut dan kawasan berisiko banjir supaya melakukan pemantauan di kawasan yang boleh menyebabkan kenaikan air.

"Ini termasuklah di lima daerah berisiko iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda dan Yan.

"Bagaimanapun keadaan malam tadi dan awal pagi hari ini terkawal walaupun ada beberapa sungai di negeri ini menunjukkan bacaan melepasi paras bahaya malah jangkaan air pasang berlaku lagi pada jam 1 tengah hari ini.

"Jangkaan air pasang ini juga berlaku awal pagi tengah malam ini dan esok. Penduduk dinasihatkan supaya berwaspada dan berpindah jika paras meningkat ke tahap tinggi," katanya.

Selain pasukan Bomba, kenderaan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar turut melakukan pemantauan di sekitar kawasan yang terjejas dinaiki air di Kuala Kedah.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312396/kuala-kedah-dinaiki-air-akibat-fenomena-air-pasang





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-12-2024 08:26 PM GMT+8 , Processed in 0.049017 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list