Alor Setar: Helikopter Leonardo AW149 yang dipilih bagi menggantikan Nuri atau Sikorsky S-61, memenuhi keperluan penugasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selain ia dibina berdasarkan spesifikasi ketenteraan, bukannya awam.
Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi AW149 ini jauh berbeza dengan helikopter jenis sama untuk kegunaan awam.
"AW149 dirasakan cukup sesuai untuk melaksanakan tiga penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti.
"Dalam perkara ini, kami sudah pun menyenaraikan spesifikasi bermula daripada satu tahap tertentu, hingga ke tahap yang lebih tinggi bagi melaksanakan tugas-tugas berkenaan," katanya.
Menurut beliau, penilaian dijalankan terhadap AW149 kemudiannya mendapati ia memenuhi spesifikasi ditentukan TUDM.
"Sekiranya kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu mengeluarkan belanja lebih malah kos operasi AW149 ini juga mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain," katanya.
Mohd Ashgar Khan berkata, pertimbangan sewajarnya sudah pun dilakukan dalam hal ini dan di pihak TUDM, setakat ini, tiada isu dengannya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perbarisan Pemakaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan 85/23 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter 65/23 di Kolej Tentera Udara (KTU) dekat Kepala Batas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Asghar Khan berkata, AW149 bakal diperoleh secara sewa beli dengan TUDM tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadap helikopter berkenaan.
"Sekiranya kontrak sewa beli itu dimeterai untuk tempoh 15 tahun, itu bererti kami (TUDM) akan memperoleh aset terbabit selepas tempoh berkenaan.
"TUDM juga tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan, sebaliknya kerja-kerja itu akan dilakukan oleh kontraktor," katanya.
Pada masa sama, menurut beliau, TUDM juga akan melatih kru penyelenggaraan berkaitan AW149.
"Dalam erti kata lain, jika helikopter itu perlu dihantar ke mana-mana dalam keadaan tertentu, kami juga boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan tanpa kehadiran kontraktor," katanya.