Syair puji-puji ustaz: JHEAIK dapatkan penjelasan Syeikh Muhd Zainul Asri
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 13, 2024 @ 4:52pm [email protected]
Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli (dua kanan) ketika dipanggil memberi penjelasan kepada pegawai JHEAIK hari ini berkaitan video tular memuji beliau secara keterlaluan. - Foto ihsan JHEAIK
ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sudah memanggil dan memberi nasihat kepada seorang pendakwah berkaitan video tular sekumpulan pelajar mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab memuji guru mereka secara keterlaluan dalam majlis meraikan hari lahir beliau.
Pengarahnya, Datuk Dr Abd Ghani @ZULKIFLI Zainuddin berkata pihaknya sudah mendapatkan penjelasan daripada pendakwah berkenaan iaitu Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli bagi mendapatkan penjelasan berkaitan video terbabit.
Muhd Zainul mengakui video itu dirakam pada 2020 namun hanya tular baru-baru ini.
"Menurut beliau, perkara itu berlaku secara spontan bukan atas kehendak beliau. Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara itu dan sekadar meraikan hasrat pelajar beliau bertujuan meraikan sambutan hari lahirnya.
"Pihak JHEAIK memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat dan ketaksuban melampau sekiranya tidak dibendung.
"Ia juga boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Ghani berkata, JHEAIK turut mengarahkan Muhd Zainul agar menyampaikan teguran dan nasihat kepada pelajar dan pengikut beliau.
Pendakwah itu akur dan mengakui kesilapan yang berlaku dan bersedia menerima teguran serta akur dengan tindakan susulan yang akan diambil oleh pihak JHEAIK.
"JHEAIK berharap semua pihak di negeri ini berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama ini tidak berulang," katanya.
Klip video berdurasi 54 saat terbabit dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mempersoalkan tindakan sekumpulan pelajar memuji Muhd Zainul secara keterlaluan sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, pihaknya sudah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi menyiasat isu berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310298/syair-puji-puji-ustaz-jheaik-dapatkan-penjelasan-syeikh-muhd-zainul
|