CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 45609|Reply: 0

[Kedah] Pekan Sik tenggelam lebih dua jam

[Copy link]
Post time 13-10-2024 09:43 AM | Show all posts |Read mode
Pekan Sik tenggelam lebih dua jam

Zuliaty Zulkiffli[email protected]




ANGGOTA dari BBP Sik melakukan operasi memindahkan mangsa banjir selepas beberapa kawasan di daerah itu termasuk Pekan Sik dinaiki air akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba.





Sik: Pekan Sik antara lapan lokasi yang ditenggelami air akibat banjir kilat yang melanda lebih dua jam susulan limpahan Sungai Chepir akibat hujan lebat, malam tadi.

Selain itu, Kampung Belimbing, Kampung Lubuk Tualang, Kampung Chepir, Kampung Kemelong, Kampung Jerai, Kampung Bendang Tebal dan Kampung Bendang Temingat turut dinaiki air antara 0.5 hingga satu meter.

Arus deras yang kuat selain paras air yang semakin tinggi antara cabaran yang terpaksa dilalui sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik ketika melakukan operasi menyelamat mangsa banjir kilat di sini, tengah malam tadi.

Ketua BBP Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, meskipun banjir kilat surut selepas dua jam kemudian, namun mereka perlu melalui cabaran itu demi memastikan tugas penyelamatan dapat dilakukan dengan lancar.

Beliau yang mengetuai operasi itu bermula jam 9 malam hingga 5 pagi tadi berkata, dia juga perlu memastikan keselamatan 10 anggotanya yang terpaksa meredah arus deras pada waktu malam.

"Menyelamatkan mangsa pada waktu malam agak sukar kerana kita tidak tahu apa yang ada di sekeliling.

"Dengan memakai pakaian lengkap termasuk jaket keselamatan ketika operasi dilakukan dengan berhati-hati terutama di kawasan air deras serta berhampiran sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, pihaknya menyelamatkan hampir 40 mangsa di Kampung Chepir, Kemelong, Kampung Lubuk Tualang dan Kampung Belimbing dan Pekan Sik di sini yang terjejas akibat banjir kilat.

Beliau berkata, dalam pada itu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak dapat pulang selepas kawasan rumahnya dinaiki air setinggi 1.5 meter terpaksa meminta bantuan bomba untuk pulang ke rumah.

"Remaja itu buntu mencari jalan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kemelong, di sini selepas keluar bersama rakannya sebelum itu.

"Bagaimanapun, remaja itu yang terperangkap hampir empat jam di simpang jalan kampung berkenaan meminta bantuan di BBP Sik pada jam 3.50 pagi untuk pulang ke rumahnya," katanya.

Zulkhairi berkata, banjir kemudian surut tidak lama kemudian namun pihaknya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko rendah dinaiki air supaya berhati-hati dan peka keadaan sekeliling sekiranya hujan lebat berterusan.

Bagaimanapun, pihaknya sentiasa bersedia dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan pemantauan berterusan dilakukan di kawasan berisiko terutamanya kawasan rendah dan berhampiran sungai dan berada dalam siap siaga optimum.

"Air pada sesetengah tempat belum surut sepenuhnya. Bagi kawasan Batu 5 menghala Jeniang, pihak bomba membuat rondaan berkala untuk kejadian di luar jangka, " katanya.

Difahamkan, setakat ini sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Kampung Tanjung Belit, di sini awal pagi tadi yang menempatkan seramai 68 mangsa daripada 30 keluarga yang terjejas akibat banjir.



Disiarkan pada: Oktober 13, 2024 @ 9:10am

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1143795/pekan-sik-tenggelam-lebih-dua-jam




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-1-2025 04:37 PM GMT+8 , Processed in 0.725513 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list