CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56969|Reply: 0

[Pulau Pinang] 240,000 pesakit perlukan penjagaan paliatif menjelang 2030

[Copy link]
Post time 12-10-2024 05:11 PM | Show all posts |Read mode
240,000 pesakit perlukan penjagaan paliatif menjelang 2030

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Oktober 12, 2024 @ 4:33pm [email protected]




Dr Richard (kanan) sambil diperhatikan Senator Dr A Lingeshwaran (kiri) dan Pengarah JKN Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin (dua dari kiri) melakukan simbolik pelancaran pada majlis Sambutan Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia di Padang Polo di Georgetown. - NSTP/DANIAL SAAD





GEORGETOWN: Sejumlah 180,000 pesakit termasuk dianggarkan 30,000 kanak-kanak memerlukan penjagaan paliatif di seluruh negara tahun ini, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada 240,000 menjelang 2030.

Penjagaan paliatif adalah salah satu perkhidmatan yang menumpukan kepada peningkatan kualiti hidup dalam kalangan pesakit yang berhadapan dengan penyakit yang mengancam nyawa.

Ketua Perkhidmatan Paliatif Kebangsaan, Dr Richard Lim Boon Leong, berkata sebahagian besar daripada angka disebutkan itu membabitkan pesakit bukan kanser iaitu yang meliputi 32 hingga 34 peratus, selain kegagalan organ antara 24 hingga 27 peratus.

"Mereka yang memerlukan penjagaan paliatif bagi kategori pesakit kanser antara sembilan hingga 11 peratus dan baki sekitar satu peratus lagi membabitkan kes penyakit berjangkit.

"Daripada data itu, hanya kira-kira 10 peratus daripada mereka mempunyai akses kepada perkhidmatan hospis dan paliatif dengan kita melihat cabaran ini lebih ketara di kawasan luar bandar serta pedalaman.

"Selain rawatan, komunikasi dengan pesakit dan keluarga amat penting supaya mereka memahami keadaan dihadapi dan menjalani hidup lebih tenang," katanya pada Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia di sini, hari ini.

Dr Richard berkata, setakat ini terdapat 34 pakar paliatif berkhidmat di Kementerian Kesihatan (KKM), selain empat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), dua di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan seorang lagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Jumlah itu, katanya tidak termasuk pakar paliatif pediatrik dengan terdapat masing-masing seorang doktor pakar paliatif yang mengkhusus kepada pesakit kanak-kanak berkhidmat di KKM, Hospital Universiti Sains Malaysia dan dua di PPUM ketika ini.

"Ketika ini juga terdapat 20 pelatih sedang mengikuti latihan termasuk dua daripada mereka pakar paliatif pediatrik.... kalau ikut nisbah penduduk, jumlah itu tidak mencukupi dengan kita mungkin dapat lahirkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat pakar setiap tahun.

"Namun sekarang di semua negeri terdapat organisasi hospis dan semakin ramai doktor serta jururawat diberi pendedahan, selain kita juga ada program melatih pakar perubatan keluarga untuk memasuki sub kepakaran dalam bidang paliatif," katanya.

Tambahnya lagi, selaras Dasar Penjagaan Paliatif Negara dan Pelan Strategik 2019-2030, pihaknya berusaha membangunkan bidang itu secara meluas kerana tugas perawat tidak sekadar terhad di hospital.

Ini kerana, katanya dalam situasi tertentu keadaan pesakit akan menjadi semakin teruk apabila mereka pulang ke rumah.

Beliau yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam bidang paliatif turut melihat penyakit serius yang tiada harapan sembuh memberi kesan mendalam pada aspek fizikal, psikologi, sosial, rohani dan beban ekonomi kepada individu dan keluarga dengan kumpulan rentan itu amat memerlukan sokongan komuniti, kerajaan dan sektor kesihatan.

Justeru, katanya, dalam usaha mengurangkan penderitaan dan meningkatkan kualiti kehidupan, tugas itu perlu menggabungkan kemahiran pelbagai disiplin untuk menampung keperluan kompleks individu yang menghidap penyakit serius termasuk keluarga dan penjaga.

"Rawatan bukan sahaja bergantung doktor pakar, tetapi melibatkan pendekatan multidisiplin contohnya pakar diet, pekerja sosial, ahli psikologi dan lebih ramai ramai terlibat dalam penjagaan, lebih baik hasilnya kepada semua pihak.

"Kita juga sedang usaha membangunkan perawatan kerohanian dan ini tidak terbatas kepada aspek keagamaan tetapi juga merangkumi bagaimana seseorang itu dapat belajar memahami dan memberi makna kepada kehidupan.

"Usaha ini melambangkan nilai masyarakat penyayang, prihatin, tidak mengabaikan individu berpenyakit, mengekalkan maruah dan sentiasa berusaha mengurangkan kesakitan dan penderitaan mereka," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309971/240000-pesakit-perlukan-penjagaan-paliatif-menjelang-2030





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-1-2025 04:20 PM GMT+8 , Processed in 0.679686 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list