Kangar: Pemindahan semula pejabat Jabatan Komunikasi (JKOM) ke Kementerian Komunikasi dilaksanakan bagi memantapkan fungsi sebenar jabatan berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, fungsi JKOM pada waktu ini akan diteliti kembali terutama dari sudut organisasi dan perjawatan.
"Antara penyelarasan (sedang dilaksanakan) itu adalah dari sudut perjawatan dan organisasi. Dalam masa sama, kita berhasrat untuk memindahkan secara fizikal Pejabat JKOM balik ke kementerian (Komunikasi).
"Selain itu, fungsi JKOM ini juga akan teliti semula," katanya selepas merasmikan Program Kita Madani Peringkat Negeri Perlis, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas jawatan Ketua Pengarah JKOM masih kosong berikutan penamatan perkhidmatan Dr Mohd Khairuddin Othman pada 23 September lalu.
"Tugas Ketua Pengarah JKOM kini masih dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarahnya (Datuk Ismail Yusop).
"Setakat ini, kita belum lagi ke arah itu (pelantikan Ketua Pengarah JKOM baru) dan saya sudah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti struktur JKOM untuk dibuat penyelarasan semula," katanya.
Fahmi juga tidak dapat menentukan tempoh masa yang diperlukan dalam lantikan semula Ketua Pengarah JKOM yang baharu.