Sik: Wanita menahan sakit hampir enam jam selepas cincin perkahwinan dipakainya gagal dikeluarkan akibat tersekat di jari manis tangan kanannya.
Mangsa berusia 21 tahun hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik untuk mendapatkan bantuan, hari ini.
Ketua BBP Sik Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 8.53 pagi.
Menurutnya, mangsa ditemani suami dan anaknya datang ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan memotong cincin berkenaan.
"Suri rumah itu memakai cincin perkahwinannya selepas sudah lama tidak memakainya, namun tidak menduga mula rasa sakit selepas beberapa jam kemudian.
"Mangsa cuba menanggalkannya dengan pelbagai cara termasuk menggunakan air sabun, minyak masak, losyen namun tidak berjaya sebelum datang ke balai bomba," katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, pihaknya menggunakan peralatan khas bagi memotong cincin itu dan tiada kecederaan serius pada jari manis mangsa.