Bandar Baharu: Jumlah tangkapan siasatan kes membabitkan Global Ikhwan Service And Business Holdings (GISBH) dijangka berubah berikutan siasatan berterusan masih dilakukan pihak polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan baru boleh dilakukan sekiranya pihak berkuasa mendapati ia perlu dilakukan bagi melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, pada peringkat awal siasatan hanya membabitkan empat peruntukan undang-undang namun kini ia sudah bertambah kepada 10 undang-undang.
"Dari segi angka (tangkapan), ia sangat dinamik sebab setiap siasatan akan membawa kepada penemuan baru. Undang-undang yang digunakan sudah ada sembilan hingga 10 akta, asalnya empat akta saja tetapi semakin kita buka kertas siasatan kita kesan pelanggaran turut membabitkan akta lain.
"Jadi kalau ditanya kepada saya apakah akan ada lagi tangkapan, saya kata biar polis buat siasatan berasaskan kepada jenis kesalahan mengikut seksyen dan akta tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-76 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, tujuan siasatan dilakukan adalah untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan kerana setiap tindakan diambil polis adalah berasaskan bukti yang meyakinkan ke atas mereka yang terbabit.
"Soal siasat ke atas penjaga, pimpinan GISBH atau kanak-kanak terbabit sangat komprehensif. Kalau ada kewajarannya, siasatan akan dilengkapkan dan kemudian diserah kepada Pejabat Peguam Negara.
"Jumlah tangkapan terkini ahli GISBH yang dimaklumkan beberapa hari lalu, kepada saya oleh pihak polis adalah seramai 625 orang setakat ini," katanya.