Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah memberi sumbangan bekalan makanan haiwan bernilai RM132,168 hasil sitaan kepada empat penjara di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, semalam.
Menurut Pengarah MAQIS Kedah, Hisham Abu Bakar, sejumlah 16,892 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku diserahkan kepada pihak penjara bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi agensi berkenaan.
"Penjara berkenaan adalah Penjara Dusun Dato' Murad, Melaka, Penjara Penor, Pahang, Penjara Machang dan Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
"Untuk makluman, kesemua serahan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses undang-undang dan yang sudah dilucut hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hisyam berkata MAQIS tidak akan berkompromi terhadap semua barang dagangan yang membabitkan isu biosekuriti terutamanya dalam aspek halal.