CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7326|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Anak terpaksa ponteng sekolah, ibu bapa tak dapat pergi kerja kerana tiada air'

[Copy link]
Post time 3-10-2024 07:55 PM | Show all posts |Read mode
'Anak terpaksa ponteng sekolah, ibu bapa tak dapat pergi kerja kerana tiada air'


Nur Izzati Mohamad[email protected]







Pelbagai inisiatif dilakukan penduduk untuk mendapatkan bekalan air termasuk mengambil dari paip yang bocor selepas mendakwa mengalami gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu di Taman Widuri, Sungai Duri. FOTO DANIAL SAAD





Nibong Tebal: Penduduk Taman Widuri di Mukim 5, Sungai Bakap, di sini, terus menderita dengan isu gangguan bekalan air sehingga rata-rata mendakwa terpaksa 'memontengkan' anak ke sekolah sejak dua minggu lalu.

Malah, mereka yang bekerja juga perlu mengambil cuti berikutan krisis yang melanda memandangkan perlu membantu ahli keluarga mengangkut air dari tangki ke kediaman masing-masing.

Suri rumah, Umaira Sahar, 34, berkata, tiga anaknya berusia lapan hingga 13 tahun beberapa hari tidak ke sekolah berikutan ketiadaan air untuk mandi dan membawa bekalan air seperti yang diminta oleh guru.

"Di sekolah juga tidak ada air. Guru mereka berpesan untuk membawa bekalan air masing-masing sekiranya hendak ke tandas.

"Suami saya pula jarang berada di rumah kerana bekerja di luar. Saya sendirian perlu mengangkat bekalan air dari tangki ke rumah.

"Ada kalanya, untuk 'survive' (bertahan), mandi pun guna air hujan, nak makan kena beli dan baju pula hantar ke dobi dan ia membabitkan kos," katanya ditemui, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 penduduk diketuai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Khairul Ahmad Fitri Suhaimi, mengadakan bantahan aman menuntut masalah itu yang berlarutan sejak enam tahun lalu didengari dan diselesaikan segera.

Penduduk, Christine Teoh, 57, berkata, anaknya terpaksa mengambil cuti untuk membantunya mengangkut air ke rumah.

"Masalah gangguan bekalan air ini berlarutan sejak enam tahun lalu. Ketika ini, sudah masuk dua minggu langsung tiada air.

"Ada kalanya perlu bangun waktu malam untuk menadah air namun bekalan tiada. Tolonglah selesaikan masalah ini," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Ahmad Fitri berkata, masalah air yang turut mengganggu pembelajaran anak-anak di lokasi berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

"Masalah air ini turut menyebabkan ada Taska dan Tadika terpaksa ditutup, pelajar dan murid kena bawa air ke sekolah sedangkan kegunaan di rumah pun tidak mencukupi, bahkan ibu bapa juga perlu mengambil cuti.

"Penduduk sengsara dan menderita. Jika ikut pemikiran moden hari ini, (apa yang berlaku) tidak logik kerana saya pernah duduk di Selangor dan masa Selangor krisis air dan buat catuan, mereka boleh bahagi (air) ikut kawasan tetapi mengapa di sini tidak boleh," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap Abidin Ismail berkata, beliau memahami situasi kebocoran paip yang berlaku hingga memaksa penduduk di Mukim 5 berdepan gangguan bekalan air berjadual (SWSI).

"Namun apa yang boleh dilakukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ketika ini adalah melakukan pelan kontingensi dengan SADA (Syarikat Air Darul Aman) dan LAP (Lembaga Air Perak) dengan meminta bantuan lori-lori tangki (membawa air) untuk diisi ke dalam tangki statik yang ada bagi memastikan bekalan tidak putus hingga masalah SWSI dapat diatasi, terutamanya pada waktu puncak.

"Selain itu, saya juga mencadangkan supaya ada penambahan tangki-tangki statik yang jika boleh, di setiap lorong di kawasan taman mempunyai tangki statik, Ia membantu meringankan beban penduduk," katanya.

Disiarkan pada: Oktober 3, 2024 @ 2:44pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1140396/anak-terpaksa-ponteng-sekolah-ibu-bapa-tak-dapat-pergi-kerja-kerana-tiada






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-1-2025 11:46 AM GMT+8 , Processed in 0.099048 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list