JITRA: Pesara kewangan, Sabari Baharom, 62, yang didakwa dicampak ke Sungai Padang Terap di sini, dalam keadaan diikat, mungkin
diperlakukan begitu pada lewat malam atau awal pagi ketika suasana sunyi di kawasan kejadian.
Penduduk Kampung Empa, Nurzakina Saidin, 54, yang tinggal kira-kira 30 meter dari jambatan lokasi Sabari dilaporkan dicampak, tidak mendengar sebarang bunyi
mencurigakan sepanjang kes itu diperkatakan.
"Tempat kejadian itu betul-betul di belakang rumah saya tapi seingat saya tidak ada mendengar sebarang bunyi benda jatuh dari jambatan.
"Mungkin ia berlaku awal pagi ketika penduduk masih tidur," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata,
kejadian itu hanya diketahui pada petang Ahad lalu daripada penduduk kampung, selain melihat polis berkunjung bersama dua lelaki dipercayai suspek kes.
Nurzakina berkata, jambatan itu menghubungkan penduduk kampung dari Wang Tepus, Jitra ke Pokok Sena dan menjadi laluan penduduk.
Ketika banjir melanda Derang di Pokok Sena, katanya, jambatan berkenaan menjadi laluan penduduk untuk ke pekan Jitra dan kawasan berhampiran.
Sementara itu, operasi
mencari oleh pasukan penyelamat sejak jam 10 pagi tadi belum mengesan keberadaan Sabari.
Operasi membabitkan anggota Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu.
Unit Anjing Pengesan (K-9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan dalam operasi itu.
Isteri Sabari,
Shubiah Roslina Shahibi, 57, turut berada di lokasi untuk mengikuti perkembangan pencarian suaminya sejak pagi tadi.
Sebelum ini, polis mengesahkan Sabari yang juga pesara pegawai kewangan FELCRA, dipercayai
dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Operasi pencarian itu dijalankan susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lalu.
Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu manakala kereta Proton Waja dinaikinya ditemui hangus di Belantik, Sik.