KWSP dekati masyarakat utara di Karnival Jom Heboh Pulau Pinang
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 2, 2024 @ 3:36pm [email protected]
Antara orang ramai dan ahli KWSP yang berurusan di reruai KWSP di Karnival Jom Heboh di Stadium Negeri Batu Kawan. - Foto NSTP/Danial Saad
BATU KAWAN: Bagaikan 'bawa pejabat', begitu inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mendekati masyarakat menerusi Karnival Jom Heboh (KJH) di Stadium Negeri Batu Kawan, yang bermula semalam.
Seramai 60 kakitangan KWSP juga bersedia membantu orang ramai bagi pelbagai urusan seperti semakan dan pendaftaran i-Akaun, pengeluaran, Simpanan Shariah, caruman, taklimat dan lain-lain lagi.
Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary Mohamed Isa, berkata antara fokus mereka adalah memastikan masyarakat, khususnya di wilayah utara cukup kewangan dengan simpanan asas yang disasarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM240,000 apabila mencecah usia 55 tahun.
Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary (berdiri dua dari kanan) memberi penerangan kepada ahli KWSP di reruai KWSP di Karnival Jom Heboh di Stadium Negeri Batu Kawan. - Foto NSTP/Danial Saad
"Di sini, pengunjung boleh lakukan pelbagai semakan dengan dibantu kakitangan dan kerana itu kita ibarat 'bawa pejabat' ke KJH termasuk menyediakan mobile truck.
"Kita juga mahu masyarakat datang ke sini bagi mendaftar sebagai ahli dan mencarum. Usia kita semakin meningkat, jadi ia perlu dilakukan segera demi masa depan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Jeffary, di Pulau Pinang terdapat seramai 746,000 ahli berdaftar yang berusia 55 tahun ke bawah yang mana hanya sekitar 27 peratus atau 119,000 daripadanya mencapai simpanan asas.
Giat jalan pelbagai aktiviti
Sebanyak 73 peratus atau kira-kira 547,000 ahli berdaftar tidak mencapai simpanan asas ketika persaraan.
Beliau berkata, dianggarkan sehingga 360,000 penduduk di Pulau Pinang dalam umur populasi bekerja antara 15 hingga 64 tahun, masih belum berdaftar dengan KWSP dan kebanyakan daripada golongan informal.
Susulan itu, aktiviti dan penganjuran program giat dijalankan bersama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian.
"Ia supaya apabila mereka tamat belajar dan berada dalam pasaran kerja, golongan itu sudah mempunyai informasi mengenai KWSP, selain mahu mereka celik dalam ilmu kewangan khususnya ketika persaraan kelak," katanya.
Kakitangan KWSP membantu orang ramai mengambil kesempatan berurusan di reruai KWSP di Karnival Jom Heboh (KJH) di Stadium Negeri Batu Kawan. - Foto NSTP/Danial Saad
Sementara itu, bagi kakitangan swasta dari Bayan Lepas, Rosnah Mat Isa, 35, berkata, dia singgah ke reruai KWSP bagi menyemak akaun dan caruman daripada majikan.
"Saya baharu tiga bulan bertukar kerja dan mahu mendapatkan informasi mengenai caruman majikan.
"Urusan di sini berlangsung dengan pantas, malah suasana santai dengan dibantu kakitangan KWSP menjadikan pengunjung lebih selesa dan mudah faham dengan maklumat yang disampaikan," katanya lagi.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1305733/kwsp-dekati-masyarakat-utara-di-karnival-jom-heboh-pulau-pinang
|