Batu Kawan: Pengunjung tidak berganjak bagi menyaksikan Konsert Jom Heboh yang menjadi penutup tirai acara pada hari terakhir Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang.
Konsert itu membariskan persembahan artis terkenal seperti Hael Husaini, Ernie Zakri, Shiha Zikir, Bella Astillah, Hyperact Band dan Nadia Rosli.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor berkunjung ke KJH Pulau Pinang dan melawat beberapa reruai jualan produk tempatan, selain pameran termasuk oleh agensi kerajaan.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Pengunjung, Zaleha Ibrahim, 30, berkata, dia bersama dua rakan tiba sejak 4 petang bagi membeli jualan serta menonton konsert pada sebelah malam.
"Karnival ini menjadi platform kepada peniaga tempatan mengetengahkan produk masing-masing.
"Diharap KJH akan terus dianjurkan di Pulau Pinang pada masa akan datang," katanya.