Pempengaruh media sosial buat aksi 'drift' direman 2 hari
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - September 29, 2024 @ 4:07pm [email protected]
Pempengaruh TikTok dan usahawan muda terkenal Pulau Pinang antara yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas. - Foto ihsan PDRM
BALIK PULAU: Seorang pempengaruh media sosial TikTok direman dua hari bagi membantu siasatan selepas ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, di sini, semalam.
Majistret M Yegeshweriy membenarkan perintah reman itu dikeluarkan terhadap lelaki terbabit yang juga usahawan muda terkenal di Pulau Pinang, hari ini.
Perintah reman sama turut dikeluarkan terhadap 14 lelaki lain yang ditahan ketika operasi sama, awal pagi semalam itu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kumpulan lelaki terbabit.
Difahamkan, semua mereka yang berusia 12 hingga 25 tahun itu ditahan kerana menunggang motosikal dan memandu kereta secara melulu.
Malah pempengaruh yang mempunyai 1.5 juta pengikut di platform TikTok itu turut ditahan ketika melakukan aksi 'drift'.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut menyita 14 motosikal serta sebuah kereta di lokasi kejadian.
Operasi itu membabitkan 53 pegawai dan anggota polis termasuk dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
Polis turut mengeluarkan 159 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1304439/pempengaruh-media-sosial-buat-aksi-drift-direman-2-hari
|