CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30615|Reply: 0

[Pulau Pinang] Naib Canselor USM hantar sendiri surat tawaran kepada pelajar B40

[Copy link]
Post time 29-9-2024 07:31 PM | Show all posts |Read mode
Naib Canselor USM hantar sendiri surat tawaran kepada pelajar B40


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - September 29, 2024 @ 4:49pm [email protected]







Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed (kanan) menyerahkan surat tawaran lanjut pengajian di USM dan sumbangan kepada penerima manfaat Program Siswa Sulung 3.0, Syaidinatul Firzanah Zul Hisham sambil disaksikan ibunya, Roslina Lazim (dua kiri) di Kampung Air Melintas Besar, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, hari ini. - Foto NSTP/Aminah Yusof





TASEK GELUGOR: Syaidinatul Firzanah Zul Hisham bertuah terpilih menjadi antara seorang daripada 200 penuntut baharu Universiti Sains Malaysia (USM) dikecualikan bayaran yuran menerusi Program Siswa Sulung 3.0 bagi sidang akademik 2024/2025.

Pun begitu, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak menyangka apabila Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed sendiri berkunjung ke rumahnya di Kampung Air Melintas Besar di sini untuk memaklumkan pengecualian itu dan sekali gus menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian.

Syaidinatul Firzanah, 19, ditawarkan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia.

"Alhamdulillah rasa teruja dapat sambung belajar dalam bidang diminati iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia di USM yang merupakan universiti pilihan pertama saya.

"Insya-Allah saya akan mendaftar masuk Jumaat ini. Saya juga sangat bersyukur menerima bantuan ini dan bertekad belajar bersungguh-sungguh kerana USM sudah membantu.

"Jadi saya juga harus membantu diri sendiri untuk mengubah nasib keluarga," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran melanjutkan pengajian di USM, hari ini.

Syaidinatul yang memperoleh 7A dan 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.3 ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, bercita-cita menjadi guru kimia apabila tamat pengajian kelak.

Katanya, dia menjadikan Cikgu Maziah iaitu gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti sebagai inspirasi kerana sentiasa gigih tanpa mengenal erti jemu mengajar diri beliau sehingga memahami mata pelajaran yang dianggap susah itu.

Sementara itu, ibu Syaidinatul iaitu Roslina Lazim, 52, berkata, dia mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya meninggal dunia akibat penyakit jantung pada 2009 ketika sedang hamil anak bongsu yang kini berusia 15 tahun.

Katanya, selepas pemergian suami, mereka sekeluarga yang sebelum itu tinggal di Ipoh pulang ke kampung dan dia pernah melakukan tiga pekerjaan selama sembilan tahun demi membesarkan anak-anaknya.

"Saya pernah menjadi menjadi pembantu Tabika Kemas selain mengambil upah menghantar kanak-kanak ke Tabika dengan menaiki kereta Perodua Kancil peninggalan suami manakala pada sebelah petang saya menjadi pengasuh transit.

"Tetapi sejak 2020 saya tidak lagi melakukan rutin pekerjaan tersebut kerana menjaga ibu yang sakit," katanya sambil menambah ibunya meninggal dunia lebih setahun lalu.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, ketika ini seramai 1,000 pelajar memenuhi kuota program Siswa Sulung dan mereka terdiri daripada pelajar tahun pertama hingga keempat menerima manfaat pengecualian semua kategori yuran kecuali penginapan dan sara hidup.

Katanya, pihaknya melakukan saringan ketat ketika membuat pemilihan termasuk turun padang melawat rumah pelajar berkenaan.

Menurutnya, pelajar terpilih turut menerima kit keperluan asas termasuk bantuan makanan kering bagi meringankan perbelanjaan keluarga untuk persediaan masuk ke USM.

"Program Siswa Sulung menyasarkan generasi pertama keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti pada peringkat Ijazah Sarjana Muda melibatkan peruntukan keseluruhan RM12 juta.

"Tahun ini kita menerima lebih 1,600 permohonan, namun hanya 200 dipilih. Pelajar ini perlu menghadiri Kem Pembangunan Siswa Sulung yang mana modulnya dibangunkan bertujuan membina pembangunan insaniah, memberi sokongan akademik selain bimbingan kaunseling," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304465/naib-canselor-usm-hantar-sendiri-surat-tawaran-kepada-pelajar-b40






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-1-2025 12:02 PM GMT+8 , Processed in 0.363044 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list