Banjir: Operasi SAR Salmah diteruskan pagi ini
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 29, 2024 @ 7:40am [email protected]
Pasukan SAR melakukan pencarian mangsa yang dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung Kanan, semalam. - Foto NSTP/WAN NABIL NASIR
PADANG TERAP: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita yang dihanyutkan arus deras banjir bersama anaknya di Kampung Tanjung Kanan, pagi semalam diteruskan pagi ini selepas ditangguhkan kira-kira jam 7 malam tadi.
Difahamkan, operasi mencari mangsa, Salmah Mat Zain, 46, akan dilakukan kira-kira jam 8.30 pagi ini.
Salmah masih belum ditemui selepas insiden dilaporkan kira-kira jam 8.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika dua beranak terbabit dalam perjalanan pulang dari membeli nasi lemak dan cuba berpaut pada pokok.
Anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Rosman Rohadi, 19, bagaimanapun ditemui lemas oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang menjalankan pencarian pada jarak kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat Muhammad Rosman dijumpai pada jam 5.35 petang, dipercayai tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, dilaporkan berkata, usaha SAR Salmah masih belum memperoleh sebarang petunjuk walaupun operasi tertumpu di kawasan mangsa dilapor dihanyutkan.
"Operasi akan disambung semula pada pagi esok (pagi ini) di lokasi sama," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1304242/banjir-operasi-sar-salmah-diteruskan-pagi-ini
|