Batu Kawan: Boria Kombinasi Kampung Melayu menjadi juara Pertandingan Yaribba! Boria Studio Tonton Drama Sangat di Karnival Jom Heboh (KJH) Penang 2024.
Pasukan itu berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM2,000 diikuti pasukan Boria Gema Permata.
Naib juara memenangi RM1,500 manakala pemenang ketiga, Boria Madnorian membawa pulang RM500.
Pengurus Acara, Shah Sulaiman berkata, ia disertai seramai 70 pemain boria di Pulau Pinang.
Katanya, ia adalah kali kedua pertandingan itu dijalankan di KJH Pulau Pinang selepas tahun lalu.
"Selepas maklumat mengenai pertandingan itu dihebahkan di laman sosial TV3, kami terima kira-kira 10 penyertaan daripada pemain boria sejak dua minggu lalu.
"Saringan sudah dilakukan menerusi video yang dihantar mereka kepada penganjur dan tiga kumpulan yang terpilih bertanding pada hari ini," katanya ketika ditemui di reruai Studio Tonton Drama Sangat.
Mengulas lanjut Shah berkata, pemenang dipilih berdasarkan penilaian juri berpengalaman iaitu Pengarah Akademi Boria Datuk Jibran Khalil dan Pengasas Kumpulan Kasturi merangkap komposer lagu Zamvery Ahmad.
Shah berkata, pihaknya akan menjadikan pertandingan boria sebagai acara 'wajib' di KJH Pulau Pinang sebagai seni budaya yang tidak akan hilang.
"Begitu juga di negeri lain yang terbabit dengan jelajah KJH yang mana kita akan ketengahkan seni budaya masing-masing.
"Diharap pada masa akan datang, kita akan terima lebih banyak penyertaan bagi memeriahkan lagi pertandingan ini," katanya.
Sementara itu suasana meriah di reruai berkenaan dengan aktiviti bersama pengunjung termasuk keluarga.
Pengunjung dari Kulim, Kedah, Seri Dewi Asnita Abdul Jalil, 38, berkata, ia adalah kali pertama bagi anaknya Ria Riana Azlan,11 tahun, menonton pertandingan boria.
"Teruja melihat gerak tari pemain boria selain pakaiannya berwarna warni manakala liriknya pula penuh dengan nasihat dan keadaan semasa.
"Memang meriah dan ini adalah reruai kedua yang kami singgah dalam tempoh agak lama sekitar setengah jam selain reruai Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)," katanya lagi.
KJH Pulau Pinang yang memasuki hari kedua dengan lebih ramai pengunjung yang hadir bagi bertemu dengan selebriti pujaan jelajah ABPBH 2024 selain mendapatkan barangan jualan dengan harga berpatutan.