Batu Kawan: Pet Zootopia di Karnival Jom Heboh (KJH) Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, bakal memberi kelainan kepada pengunjung untuk merasai pengalaman dan keseronokan membelai haiwan manja.
Reruai kendalian The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu antara tarikan menari sepanjang tiga hari KJH berlangsung bermula esok sehingga 29 September ini.
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP Tengku Kaifimirza Tuan Cherit
@tengku Hamzah berkata, pengunjung berpeluang bermesra dan mengenal haiwan jinak yang jarang dilihat di pameran itu.
Menurutnya, lebih 20 haiwan jinak terdapat pada pameran berkenaan di KJH kali ini.
"Jika KJH terdahulu ada Dino Land, kali ini kita bawa haiwan jinak termasuk eksotik yang sudah pasti memberi pengalaman menyeronokkan terutama kepada kanak-kanak.
"Harga tiket yang ditawarkan ialah RM6 dan RM20 bagi kemasukan empat pengunjung," katanya di sini, hari ini.
Tengku Kaifimirza berkata, turut terdapat di reruai itu ialah Pencarian Wartawan Cilik bersama tetamu istimewa Ally Iskandar dan Syamira Nazir.
Katanya, tarikh rakaman akan berlangsung bermula 2 hingga 5.30 petang esok dengan yuran sebanyak RM30 termasuk tiket Pet Zootopia.
"Pencarian wartawan cilik ini terbuka kepada penyertaan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang petah, berani dan mesra dengan haiwan di reruai NSTP.
"Peserta perlu memuat naik video yang dirakam ke media sosial dan pemenang akan diumumkan pada 5 petang Ahad ini," katanya.
Menurut Tengku Kaifimirza, selain wang tunai, pengunjung juga ditawarkan hadiah menarik daripada penaja Nestle Malaysia seperti Maggi, Cereal, Nestum dan lain-lain lagi.
"Penaja lain, CSR (Central Sugars Refinery Sdn Bhd) turut menawarkan hadiah gula pasir satu kilogram (sementara stok masih ada)," katanya.