CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8083|Reply: 0

Paris 2024: Qing Chen-Yi Fan sekat kemaraan Pearly-Thinaah

[Copy link]
Post time 2-8-2024 04:49 PM | Show all posts |Read mode


Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah selepas beraksi menentang beregu wanita China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan pada acara separuh akhir badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle hari ini.-Gambar BERNAMA

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sejarah mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 terpaksa akur dengan kehebatan gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena pagi ini (petang di Malaysia), harapan rakyat Malaysia untuk melihat mereka mara ke final tidak kesampaian selepas Pearly-Thinaah tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit selama 78 minit.

Bagaimanapun, mereka masih berpeluang mencipta sejarah selaku pemenang pingat pertama Malaysia dalam acara itu apabila bertemu pasangan nombor lima dunia Liu Sheng Shu-Tang Ning dari China atau Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada aksi penentuan pingat gangsa esok.

Qing Chen-Yi Fan, penyandang pingat perak Olimpik, memulakan aksi dominasi mereka sejak awal perlawanan untuk kemenangan selesa pada set pertama ke atas pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Dalam set kedua, Pearly-Thinaah yang berada di ranking ke-12 dunia kemudiannya meningkatkan intensiti untuk mengejar dari ketinggalan untuk mengikat kedudukan 15-15, sebelum mencatatkan kemenangan 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, Pearly-Thinaah yang terus memberikan cabaran sengit kepada Qing Chen-Yi Fan dengan sorakan padu penonton dalam set penentuan terpaksa menerima keputusan mengecewakan dalam aksi yang dramatik itu.

Ini merupakan kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada beregu China itu pada Olimpik kali ini selepas tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A, Sabtu lepas.

Semalam, Pearly-Thinaah mencipta sejarah selaku beregu wanita pertama negara untuk layak ke separuh akhir di pentas Olimpik selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan 21-12, 21-13.

Pencapaian terbaik terdahulu adalah pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi di suku akhir edisi Rio 2016.

Pearly-Thinaah yang memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan, berjaya bangkit mengubah nasib mereka dengan mencipta kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia untuk melepasi ‘kumpulan maut’ itu.- BERNAMA


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 04:12 AM GMT+8 , Processed in 0.033859 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list