|
Dua atlet Turkiye iaitu Yusuf Dikec dan Sevval Ilayda Tarhan mencatat sejarah bagi negara mereka selepas memenangi pingat perak dalam acara menembak 100 meter kategori campuran pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Dua atlet itu bersemuka dengan pemain Serbia Damir Mikec dan Zorana Arunovic dalam perlawanan akhir. Persaingan adalah sengit, dan ketegangan dapat dirasai. Dikec dan Tarhan terpaksa akur dengan pingat perak selepas menamatkan saingan dengan mata 16-14.
Apa yang menjadi perhatian ialah Yusuf Dikec tampil dengan begitu selamba dimana beliau tidak memakai peralatan yang lazimnya dipakai oleh atlet menembak.
Dalam acara sukan menembak, atlet biasanya memakai beberapa peralatan seperti kanta yang mengelakkan kabur, kanta untuk ketepatan yang lebih baik dan pelindung telinga bagi mengurangkan bunyi dari tembakan dan sorakan peminat.
Akan tetapi, Dikec tidak memakai ketiga-tiga peralatan ini dimana beliau hanya memakai kaca mata biasa namun masih berjaya untuk memenangi pingat perak.
Pingat perak ini adalah pencapaian besar dimana ia adalah pingat Olimpik pertama Turkiye dalam acara menembak. Malah Menteri Belia dan Sukan, Osman Askin Bak turut hadir untuk memberikan sokongan terhadap dua atlet ini.
Dengan kemenangan ini, menembak menyertai senarai sukan di mana atlet Turki telah memenangi pingat Olimpik. Negara itu mempunyai sejarah yang gemilang dalam acara gusti, angkat berat, taekwondo, tinju, karate, olahraga, judo, memanah dan gimnastik. |
|