CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13925|Reply: 0

[Kedah] Musim tanaman baharu padi dijangka terjejas akibat cuaca panas berpanjangan

[Copy link]
Post time 31-7-2024 03:59 PM | Show all posts |Read mode
Musim tanaman baharu padi dijangka terjejas akibat cuaca panas berpanjangan


Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Julai 31, 2024 @ 3:29pm [email protected]





Foto hiasan





ALOR SETAR: Fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan mungkin menyebabkan petani berdepan kesukaran memulakan musim tanaman baharu padi yang dijadual bermula antara Oktober hingga November depan.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain, berkata ketika ini kesan kemarau belum dapat di lihat sepenuhnya berikutan musim tanaman 1/2024 bakal tamat antara Ogos hingga September ini.

Jelasnya, umur padi semasa adalah antara 60 ke 70 hari dan bekalan air sedia ada dilihat mencukupi bagi menampung keperluan petak sawah sehingga pokok mencapai tahap matang antara 100 ke 120 hari sebelum musim menuai bermula.

"Musim kemarau di Kedah dan Perlis adalah perkara biasa bermula Disember hingga April, namun air di empangan tidak surut banyak dan kegiatan menanam padi masih boleh dilakukan seperti biasa pada setiap musim tanaman.

"Cuma kita bimbang sekiranya cuaca tidak hujan sehingga September depan kerana sistem saliran sawah di kawasan Kedah dan Perlis bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dari Empangan Muda dan Pedu yang dilaporkan kritikal ketika ini.

"Kita juga dapat maklumat pesawah di Perak, Pahang dan Kelantan turut mengalami masalah sama akibat fenomena cuaca terlalu panas. Jika keadaan ini berterusan, kita bimbang pengeluaran padi musim hadapan berkemungkinan besar terjejas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Ani berkata, mengikut kebiasaan cuaca sejak beberapa tahun lalu, sepatutnya musim hujan bermula pada Julai dan berlarutan sehingga November bagi membolehkan bekalan air di empangan meningkat.

Namun, katanya, keadaan itu agak berbeza pada tahun ini apabila jumlah hujan diterima sangat rendah sehingga ada kawasan sawah di Perlis dilaporkan tidak menerima hujan sejak beberapa bulan lalu.

"Kita memang dapat laporan mengatakan ada sawah di Perlis tidak dapat melakukan tanaman padi pada musim ini kerana masalah bekalan air di empangan yang kurang, tetapi kawasannya tidak terlalu besar.

"Pokok padi memerlukan bekalan air yang cukup bermula ketika waktu menabur hingga umur padi memasuki 80 hari bagi membolehkan butir beras dihasilkan dalam jumlah banyak, sekiranya tidak cukup air akan berlaku padi hampa," katanya.

Hari ini, kadar tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan terus menyusut berikutan keadaan cuaca panas berterusan sejak beberapa bulan lalu.

Laman web MADA melaporkan, paras air di Empangan Muda menyusut kepada 8.04 peratus, manakala Empangan Pedu sebanyak 39.71 peratus dan Empangan Ahning 81.76 peratus dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan adalah 44.14 peratus.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 02:30 AM GMT+8 , Processed in 0.079099 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list