SIK: Kadar takungan tiga empangan di bawah selian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus menyusut akibat cuaca panas berterusan sejak beberapa bulan lalu.
Mengikut rekod di laman web MADA hari ini, paras air di Empangan Muda hanya tinggal 8.04 peratus manakala Empangan Pedu (39.71) dan Empangan Ahning (81.76) dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan adalah 44.14 peratus.
Menurut nelayan tasik, Awang Salleh, 59, berkata operasi pembenihan awan (OPA) yang dilakukan sejak kelmarin sudah menampakan hasil apabila hujan petang semalam.
Bagaimanapun katanya, hujan itu hanya kira-kira 15 minit bermula jam 5 petang.
"Ketika hujan petang semalam, saya berada di rumah rakan nelayan di Tasik Gubir, Empangan Muda. Mereka maklumkan kawasan empangan turut hujan.
"Saya harap cuaca hujan lagi hari ini untuk bantu tingkatkan paras takungan air di empangan," katanya yang tinggal di KEDA Kota Aur.
Seorang lagi penduduk, Indon Mad Daya, 71, berharap hujan akan turun dengan lebih kerap selepas pembenihan awan dilakukan tiga hari berturut-turut bermula kelmarin.
Katanya, biarpun tidak menghadapi gangguan bekalan air di kawasan berkenaan, namun dia bersimpati melihat penduduk di kawasan lain yang terjejas bekalan akibat kemarau.
"Saya tengok di televisyen ada beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang alami gangguan bekalan air, selain itu paras air Sungai Muda pun terjejas.
"Kemarau ini pun sebahagian ujian Allah untuk kita, kerajaan sudah ikhtiar lakukan pembenihan awan, semoga hujan akan turun selepas ini dan musim kemarau akan berakhir tidak lama lagi," katanya.
Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini.
Operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian serta kegunaan air domestik.