Jitra: Dua lelaki warga tempatan yang ditemukan maut selepas terperangkap dalam lubang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kamunting, di sini, hari ini dipercayai hendak melakukan jenayah curi kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kedua-dua lelaki itu dikatakan sempat mencuri kabel sebelum terperangkap dan lemas dalam lubang berkenaan.
Beliau berkata, kejadian itu disedari orang awam yang ternampak penutup lubang itu dalam keadaan terbuka, jam 8 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.
"Berikutan itu, polis menghubungi syarikat telekomunikasi terbabit dan bomba untuk memaklumkan perkara terbabit.
"Pemeriksaan dijalankan menemukan dua lelaki terbabit terperangkap dalam lubang sedalam kira-kira enam meter itu.
"Anggota bomba membantu membawa naik mayat kedua-dua lelaki terbabit," katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Rodzi berkata, berdasarkan siasatan, dua lelaki itu dipercayai sudah berjaya memotong kabel syarikat telekomunikasi itu pada lubang pertama yang jaraknya kira-kira 30 meter dari lubang kedua.
Bagaimanapun, katanya, ketika hendak memotong kabel di lubang kedua, mereka dipercayai terperangkap dan meninggal dunia akibat lemas disebabkan kekurangan oksigen.
"Kita percaya kejadian ini berlaku awal pagi hari ini sebelum penemuan mayat kedua-duanya tidak lama kemudian.
"Siasatan juga mendapati, mereka bukan penduduk daerah ini.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut," katanya.