YAN: Takungan air di Empangan Beris dijangka dapat bertahan sehingga September depan bagi menampung bekalan air domestik untuk Kedah dan Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff
@Munir Zakaria, berkata ketika ini Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) sudah melepaskan 10 juta liter padu air dari Empangan Beris bagi menstabilkan paras Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan dua negeri berkenaan.
Katanya, Empangan Beris masih mempunyai simpanan air yang memuaskan untuk digunakan ketika waktu kecemasan akibat penyusutan paras air di Empangan Muda.
"Kalau tak lepas air empangan, memang Syarikat Air Darul Aman (SADA) tak boleh nak sedut air untuk diproses. Jadi Empangan Beris ini kita lepas pada waktu tertentu dan ini antara usaha kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo Titi Hayun di sini, hari ini.
Mohamad Yusoff berkata, bagi mengatasi gangguan bekalan air pada musim kemarau kerajaan negeri melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut bercadang membina kolam takungan air pinggiran sungai (TAPS).
Katanya, cadangan itu sudah lulus peringkat kajian dan pelaksanaannya akan dipercepat supaya Kedah dapat menakung air di pinggiran sungai segera.
"Buat masa sekarang pengguna diminta untuk menggunakan air secara berhemah, tapi kalau tiada bekalan air bagaimana nak berhemah.
"Apa pun kita akan cari jalan untuk pastikan pengguna di Kedah terima bekalan air," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan taburan hujan yang rendah dijangka berterusan hingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan itu berlaku berikutan negara berada dalam musim Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lalu.
Sementara itu, mengikut rekod di laman web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini, paras air di Empangan Muda terus menyusut dan hanya tinggal 8.44 peratus, manakala Empangan Pedu sebanyak 40.28 peratus dan Empangan Ahning 81.97 peratus.
Purata keseluruhan takungan air bagi tiga empangan adalah 44.63 peratus dengan sumbernya digunakan untuk bekalan air domestik dan aktiviti pertanian.