George Town: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan larangan perkhidmatan aktiviti berkuda di pesisir pantai Batu Feringghi, bermula 1 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H'ng Mooi Lye berkata, larangan itu diputuskan pada mesyuarat baru-baru ini, susulan aduan orang ramai dan laporan media.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa faktor lain yang dipertimbangkan seperti kebajikan penjagaan haiwan dan kesalahan pembinaan struktur tanpa kebenaran daripada pihak berkaitan.
"Kita terima banyak aduan terhadap perkhidmatan aktiviti berkuda itu termasuk daripada operator hotel dan orang awam mengenai aspek keselamatan dan kebersihan sekitar.
"Jadi, kita putuskan bagi tamatkan dan tetapkan 1 September ini untuk diharamkan operasinya di pesisir pantai Batu Feringghi," katanya ditemui di pantai Batu Feringghi, di sini, hari ini.
Laporan khas Harian Metro pada 22 dan 23 Julai lalu memaparkan perkhidmatan aktiviti berkuda yang ditawarkan pengendali warga asing serta kembali beroperasi walaupun serbuan dijalankan secara berterusan.
Pengarah Penguatkuasaan MBPP Noorazrein Noorazlan Ong berkata, sudah lebih 50 tindakan penguatkuasaan diambil sepanjang Januari hingga Mei lalu terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti berkuda kepada pengunjung di pesisir pantai berkenaan.
Katanya, risikan dan aduan juga mendapati, jumlah kuda dibawa masuk ke lokasi berkenaan juga bertambah daripada lima kepada 20 ekor.
Tangkapan juga tidak dapat dibuat terhadap warga asing itu walaupun tindakan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana status mereka sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).