Geogetown: Sebanyak 32 unit gerai penjaja di Kompleks Penjaja Huma House Batu Feringghi terbakar, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan lelaki berusia 30-an melecur kira-kira 40 peratus di belakang badan.
Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Nazril Hisyam Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 tengah hari dan pasukan dikerah ke lokasi, yang dibantu anggota BBP Teluk Bahang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Sebaik tiba didapati kebakaran membabitkan kompleks penjaja yang menempatkan 40 unit gerai.
"Daripada jumlah itu, 32 unit terbakar sehingga 80 peratus," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pasukan mengambil masa lebih sejam untuk mengawal api dan kebakaran turut memusnahkan enam motosikal yang diparkir berhampiran selain barang jualan.
"Kita turut dibantu Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) daripada dua hotel berhampiran.
"Tugas pemadaman api menghadapi cabaran kerana angin kencang dan kawasan parkir untuk jentera yang agak terhad.
"Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 6.09 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Tanjung Bungah, Mohammad Lili Mat Ibrahim berkata, lelaki yang cedera itu adalah 'beach boy'.
"Kami dimaklumkan mangsa melecur 40 peratus dan anggota memberi rawatan awal sebelum dia dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan," katanya.