Asrama pekerja warga asing di Taman Jawi Indah, di sini, musnah sehingga 80 peratus dalam kebakaran. - Foto NSTP/Ihsan JBPM
NIBONG TEBAL: Seramai 20 pekerja asing nyaris menjadi mangsa dalam kejadian kebakaran asrama di Taman Jawi Indah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kebakaran itu, asrama berkenaan mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya terima panggilan pada jam 11.21 pagi.
Tugas pemadaman api dan penyelamatan membabitkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan BBP Sungai Bakap serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah asrama pekerja dengan peratusan kemusnahan sehingga 80 peratus.
"Anggota pasukan melakukan kerja 'overhaul' selepas api berjaya dipadamkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut PGO, ketika kejadian kesemua pekerja warga asing sempat keluar menyelamatkan diri.
"Pasukan dari Tenaga Tasional Berhad (TNB) turut ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.