Kangar: Pasangan suami isteri serta anak lelaki mereka berusia tiga tahun nyaris lemas selepas kereta jenis Proton Pesona dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Jalan Kangar-Alor Setar, Kampung Tok Pulau dekat sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma'at berkata, bagaimanapun wanita dan anaknya didapati tidak sedarkan diri ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Empat menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.11 petang dan tiba di lokasi itu, lima minit kemudian untuk operasi menyelamat.
"Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian didapati tiga mangsa berkenaan berjaya diselamatkan orang awam. Namun, ibu dan anak itu tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan cemas (CPR) sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata, lelaki itu bersama isteri berusia lingkungan 30-an dan anak mereka dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut.