CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6213|Reply: 0

[Kedah] Kanak-kanak lelaki 10 tahun ditemukan lemas di takungan air

[Copy link]
Post time 22-6-2024 12:30 PM | Show all posts |Read mode
Kanak-kanak lelaki 10 tahun ditemukan lemas di takungan air


Oleh Zuliaty Zulkiffli - Jun 22, 2024 @ 12:19pm [email protected]





Mohd Hashim Nazri, 36, menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Aiman Harith Mohd Hashim, 10, yang ditemukan lemas di takungan air berhampiran rumah mereka di Perumahan UUM, Sintok. NSTP/Zuliaty Zulkiffli





ALOR SETAR: "Saya dah banyak kali pesan pada arwah, jangan main di kawasan takungan air tu, tetapi tak sangka pula dia pergi juga ke situ, semalam dan ditemui lemas," kata Mohd Hashim Nazri, 36.

Mohd Hashim, 36, adalah bapa kepada Muhammad Aiman Harith Mohd Hashim, 10, yang ditemukan lemas di takungan air laluan longkang utama Perumahan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, semalam.

Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Harith yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Sintok itu dikatakan keluar memancing bersama tiga rakannya di lokasi kejadian tidak jauh dari kawasan perumahan itu sebelum dia ditemukan lemas.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas waktu hujan menyebabkan takungan itu dipenuhi air.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama Muhammad Aiman Harith dan anak perempuan bongsu, Nurisya Amanda, 5, manakala isteri, Siti Noorazar Shamsudin keluar bekerja syif petang di Jabatan Keselamatan UUM pada jam 2.30 petang.

"Namun selepas itu, Muhammad Aiman dipercayai keluar bermain dengan kawan-kawannya.

"Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada isteri yang memberitahu anak kami lemas dan terus bergegas ke lokasi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.

Mohd Hashim yang juga pesawah berkata, sebaik tiba di situ, dia mendapati orang ramai sedang cuba melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa.

"Tetapi ketika itu pun badan anak saya itu sudah kelihatan lembik dan tidak memberi tindak balas," katanya.

Katanya, beberapa jam sebelum kejadian, arwah yang juga anak sulung daripada dua beradik itu sempat mengikut ibunya mendaki bukit di kawasan Sintok dan pulang ke rumah sebelum tengah hari.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati sebelum kejadian berlaku namun tidak menyangka perkara buruk berlaku sehingga menyebabkan anaknya pergi buat selama-lamanya.

"Namun saya sekeluarga reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Mohd Hashim berkata, jasad Muhammad Aiman Harith dikeluarkan dari takungan air itu oleh pengawal keselamatan UUM.

Jenazah anaknya akan dibawa pulang ke kampung mereka di Pida 4 Lama, Jalan Sanglang Mukim Pering, Kodiang selepas selesai urusan bedah siasat untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.55 petang yang memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki lemas dalam takungan laluan longkang di lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang bertugas di klinik UUM.

"Berdasarkan siasatan, mangsa bersama tiga rakannya memancing di tempat kejadian dan selepas itu, mereka dipercayai mandi di dalam takungan air itu sebelum mangsa ditemui lemas," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 10:40 AM GMT+8 , Processed in 0.046824 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list