NIBONG TEBAL: Tiga jalan utama di daerah ini akan ditutup sementara bagi memberi laluan hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Sabtu ini.
Penutupan bermula jam 11.59 malam esok hingga 3 petang Sabtu itu membabitkan Jalan Serindit, Jalan Susur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) dan Jalan Susur Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Chong Boo Khim menasihatkan orang ramai merancang perjalanan sebaik mungkin serta mengenal pasti laluan-laluan yang akan ditutup di samping menggunakan laluan alternatif agar tidak terperangkap dalam kesesakan.
"Mereka yang ingin ke lokasi penamaan calon dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti kawasan perumahan sehingga boleh menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau turut memohon kerjasama orang awam supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh semua penguat kuasa bertugas bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, manakal pengundian awal pula pada 2 Julai.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.