Saifuddin Nasution (kiri) berbual dengan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin pada Majlis Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap hari ini. -foto BERNAMA
NIBONG TEBAL: Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya memberi jaminan keselamatan dan penduduk tidak seharusnya bimbang atau berasa takut untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 6 Julai ini.
Beliau memaklumkan, persiapan penugasan polis dibahagikan kepada tiga fasa bermula daripada fasa penamaan calon, fasa kedua tempoh berkempen dan fasa ketiga adalah pada hari pengundian.
"Justeru, tidak boleh ada elemen yang boleh ditafsirkan sebagai mencetuskan kebimbangan apa lagi dalam aspek keselamatan," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap, hari ini.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Agung PKR berkata beliau mendengar taklimat daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berhubung persiapan pihak polis dalam berdepan PRK Sungai Bakap.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.