BANDAR BAHARU: Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa pembunuhan, Zayn Rayyan Abdul Matiin, diminta membuat laporan polis sekiranya berasa terancam selepas sebahagian daripada maklumat yang dikatakan hasil siasatan bocor menerusi media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata adalah menjadi tanggungjawab polis menjaga keselamatan semua pihak, termasuk ibu bapa kepada Zayn Rayyan bagi memastikan siasatan kes berjalan lancar.
"Kes ini dianggap berprofil tinggi dan perkembangan terkini dianggap sebagai memeranjatkan sesetengah pihak, tetapi pihak polis tetap mengumpul maklumat secara profesional.
"Jadi jika ada pihak dalam kes ini, terutama keluarga berasa terancam, salurannya adalah polis, mereka kena lapor kepada polis," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya memberi jaminan siasatan polis dalam kes terbabit dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Berikutan itu, katanya orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau memberi andaian di media sosial sehingga menjejaskan siasatan yang dibuat.
"Seluruh siasatan polis berpandukan disiplin, polis tak boleh bertindak di atas persepsi atau maklumat samar, dalam kes bunuh kena ada mayat, motif dan senjata berpandukan prosedur siasatan.
"Sebab itu netizen kena elak beri komen mengganggu siasatan, pandangan yang semata-mata persepsi. Beri ruang kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) lengkapkan siasatan terlebih dahulu," katanya.
Semalam, peguam mewakili keluarga, Fahmi Abd Moin menuntut siasatan menyeluruh kes itu kerana keluarga mangsa terganggu dari segi emosi, selain meminta polis menjamin keselamatan keluarga berkenaan.
Selain itu Fahmi berkata, keluarga mangsa turut meminta satu siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sumber dan individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat yang dikatakan daripada kertas siasatan kes terbabit di media sosial.