Pengarah Pilihan Raya PH yang juga Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli (tengah) pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar, Nibong Tebal. -Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad
NIBONG TEBAL: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang diketuai UMNO memberi jaminan bahawa parti itu bersama komponen MCA dan MIC akan membantu calon Pakatan Harapan (PH) untuk menguburkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata seluruh jentera BN sudah bersiap sedia untuk memenangi calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
"Ada orang tanya saya sama ada MCA dan MIC akan turun bantu calon Perpaduan. Di sini saya bagi jaminan yang kita sudah tutup buku dulu dan sekarang buku baru bahawa kita akan bekerja sebagai satu kumpulan.
"Saya sudah berjumpa dengan MCA dan MIC untuk turun tolong calon PH Kerajaan Perpaduan yang kita seluruh jentera BN sudah siap sedia utk tumpaskan PN.
"Kali ini kita kuburkan PN, kita rampas Sungai Bakap daripada depa (mereka). Kita akan mulakan semangat baru bersama satu jentera untuk menangkan calon PH -Perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar, di sini, malam ini.
Hadir sama Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.