NIBONG TEBAL - Kerajaan Perpaduan akan memastikan calon yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap sesuai dengan kehendak dan aspirasi masyarakat kawasan berkenaan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, parti termasuk pejabat Presiden PKR akan meneliti secara menyeluruh semua kriteria sebelum memuktamadkan calon.
"Di peringkat Pusat kita akan adakan mesyuarat untuk menetapkan beberapa perkara dan saya percaya calon Perpaduan yang akan ditonjolkan berupaya untuk memenangi semula kerusi Sungai Bakap nanti. Insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap di sini pada Khamis.
Mengenai persiapan parti menjelang PRK itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, persiapan berjalan dengan baik dan lancar dengan mesyuarat di peringkat cabang, bahagian dan negeri telahpun diadakan.
Mesyuarat Barisan Kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang pada Isnin sebulat suara bersetuju agar PKR menghantar calon mewakili parti gabungan tersebut pada PRK Sungai Bakap.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.