Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani (memegang cangkul) menanam anak pokok durian sebagai gimik perasmian Program Penanaman Semula Pelancongan Hijau di Taman Agroteknologi Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Sembilan Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di negara ini menerima lebih 600,000 pelawat, sekali gus menjana pendapatan kira-kira RM22 juta setahun.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata Taman Agroteknologi Langkawi dan Cameron Highlands masing-masing menerima jumlah pelawat tertinggi kira-kira 45,000 orang sebulan.
"Kedudukan semasa memperlihatkan kedua-dua taman agroteknologi itu mula merangkak naik pasca COVID-19 dan masing-masing menjana pendapatan kira-kira RM2 juta setahun serta memberi sedikit 'kelegaan' kepada MARDI.
"Taman Agroteknologi Tanjung Karang, Selangor pula RM20,000 sebulan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Semula Pelancongan Hijau di Taman Agroteknologi Langkawi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah MARDI Kedah, Wan Zairi Wan Abdul Manaf dan Pengurus MARDI Langkawi, Muhammad Khairol Asraff Ibrahim.
Selain Langkawi, Cameron Highlands dan Tanjung Karang, enam kawasan lain iaitu Kuala Kangsar dan Bagan Datuk di Perak; Cherating (Pahang); Kuala Linggi (Melaka); Jeram Pasu (Kelantan) dan Kluang (Johor) turut memiliki taman agroteknologi sama.
Mengulas program hari ini, Dr Mohamad Zabawi berkata, sebanyak 450 anak pokok dengan 200 daripadanya anak pokok durian di tanam di Taman Agroteknologi Langkawi bagi menggantikan pokok lama yang telah berusia.
"Sasaran kita setiap stesen MARDI di negara ini akan menanam tidak kurang 800 pokok sebagai menyokong Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 anjuran kerajaan," katanya.