KANGAR: Pendakwaan terhadap pemilik syarikat, Mohd Syafeeq Mohd Shukri yang juga anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli perlu membuktikan segala elemen yang ditimbulkan pihak berkenaan selama ini wujud.
Peguam kepada Mohd Syafeeq, Mohd Fadhly Yaacob, berkata selama ini berdasarkan laporan media tuntutan yang dikatakan palsu itu adalah RM600,000 namun berdasarkan pertuduhan hari ini terhadap anak guamnya itu adalah yang menggambarkan jumlah sebenar yang sedang dibicarakan.
"Bagi saya apa yang ada dalam pertuduhan itu iaitu jumlahnya RM19,505.10 itulah yang 'transpire' pada tuduhan hari ini.
"Sekarang isu yang timbul sekarang ini adalah untuk pendakwaan membuktikan elemen tertentu seperti jumlah sebenar berapa ribu, pasal penghantaran (air) itu betul atau tidak, apa bukti yang mungkin menjurus ke arah jumlah itu dan perkara itu perlu dibuktikan," katanya.
Peguam Mohd Fadhly Yaacob (kanan) bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Beliau bagaimanapun menghormati prerogatif pihak pendakwaan dan akan meneruskan perbicaraan berkenaan.
Mohd Fadhly menjawab pertanyaan pemberita berhubung wujud perbezaan nilai yang dilaporkan sebelum ini dengan pertuduhan yang berlangsung dalam prosiding hari ini.
Dalam prosiding hari ini, Mohd Syafeeq, 35 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada Februari lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Syafeeq didapati dengan niat memperdayakan Nurul Nabilah Mohd Sukri yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan memberikan satu dokumen Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 14 Februari tahun ini berjumlah RM19,505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid.
Pemberian dokumen itu adalah berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Tuanku Raja Perlis di HTF yang didapati mempunyai butiran palsu.
Mohd Syafeeq melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kangar pada 19 Februari tahun ini.
Oleh hal demikian, dia didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Aktab694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu yang palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.