GEORGETOWN: Seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara maut, dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjong Bungah, di sini.
Mayat mangsa berusia 24 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah, kira-kira jam 3.35 petang semalam sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.
Difahamkan, kejadian itu tidak lama selepas wanita terbabit bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun mendaftar masuk hotel berkenaan.
Lelaki itu bagaimanapun dikatakan hanya menyedari mangsa dalam insiden terbbait adalah temannya selepas melihat orang ramai berkumpul di tingkat bawah lalu turun ke lokasi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, ketika dihubungi hari ini, berkata siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes itu.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat mangsa dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes terbabit bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.