Tumpat: Wanita warga emas kerugian RM1,000 termasuk wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disimpan apabila rumahnya terbakar malam tadi di Kampung Alor Che Ismail di sini.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Sakeh Daud, 69, berkata dia berada di luar rumah memberi makan tujuh kucingnya sebelum tiba terdengar bunyi letupan dari dapur.
"Saya masuk ke dapur untuk mengesan bunyi letupan itu dan sangat terperanjat apabila melihat api sedang marak di dinding.
"Saya cuba memadamkannya dengan menyiram tapi api semakin marak menyebabkan saya segera keluar meminta pertolongan anak saudarai.
"Tiba-tiba berlaku satu letupan agak kuat dari dalam rumah dan jiran cuba membantu memadamkan api namun kebakaran berlaku sangat pantas menyebabkan habis rumah saya hangus," katanya ketika ditemui di sini.
Sakeh berkata, dia hanya sempat mencapai telefon bimbit manakala dokumen penting serta wang tunai yang disimpan dalam bilik gagal diselamatkan.
Dia yang tinggal seorang diri itu berkata, wang JKM RM500 yang disimpan dalam beg untuk kegunaan hariannya hangus terbakar.
"Namun saya bersyukur kerana selamat, begitu juga dengan semua kucing peliharaan," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu Mohd Zin Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.52 malam dan 17 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah jenis sementara kekal dengan kemusnahan sebanyak 90 peratus.
"Ketika pasukan kami tiba, api sedang marak. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.