Kangar: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu siasatan terperinci dilakukan terhadap kejadian
kebakaran yang berlaku di di aras bawah Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau, awal pagi tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan kementerian juga akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada UniMAP susulan insiden itu.
"Semoga semua yang terbabit tabah dan KPT akan memastikan segala perkara berkaitan akan diberi perhatian sewajarnya," katanya menerusi hantaran Facebooknya malam ini.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi dipetik sebagai berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4.43 pagi.
Zambry berkata beliau juga dimaklumkan bantuan segera telah diberikan oleh UniMAP bagi tujuan kebajikan dan penempatan sementara kepada pelajar yang terbabit, termasuk dari segi urusan barangan keperluan dan makanan.
Beliau juga menasihatkan semua pelajar yang terlibat supaya sentiasa berhubung dan mendapatkan maklumat terkini daripada universiti.