SIK - Siapa sangka pengenalan singkat di aplikasi TikTok akhirnya menyatukan pasangan Elya Sudirman, 50, dan suaminya, Mohamad Aizat Aiman Halim, 27.
Berkongsi dengan Sinar Harian, Elya berkata, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh sekali lagi selepas perkahwinan pertama berakhir dengan penceraian.
Katanya, mereka mendirikan rumah tangga tahun lepas tatkala usianya 49 tahun dan suami ketika itu 26 tahun.
Pengenalan singkat di aplikasi TikTok menyatukan pasangan Elya Sudirman, 50, dan suaminya, Mohamad Aizat Aiman Halim, 27 pada 12 November 2023.
"Kami berkenalan tidak sampai setahun dan terus melangsungkan perkahwinan. Saya dan suami disatukan pada 12 November 2023 di Pontian, Johor," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bercerita lanjut katanya, pada masa dia memutuskan untuk berkahwin, keluarganya tidak begitu bersetuju dengan pilihannya itu kerana jarak usia yang jauh antara mereka berdua.
"Reaksi keluarga ketika itu terutamanya abang saya, tidak berapa berkenan kerana beza usia pada masa itu 23 tahun, jadi mereka tidak yakin dengan perkahwinan ini.
"Apabila suami datang bertemu keluarga saya dan tunjuk kesungguhan datang dari Kedah ke Johor untuk beri keyakinan dan dia nyatakan keikhlasannya hendak memperisterikan saya, barulah keluarga saya yakin menerima dia (suami)," katanya lagi.
[size=1.25]Tambahnya, keluarga suami menerimanya dengan sangat baik.
"Mereka menerima saya seadanya dan tiada langsung wujud penentangan daripada keluarga pihak lelaki," katanya.
Dalam pada itu jelasnya, anak-anaknya juga menerima pilihan hatinya itu.
"Saya ada empat anak dari perkahwinan terdahulu dan kesemua mereka menerima pilihan saya dengan baik," jelasnya.