|
GAMBAR hiasan
Kota Bharu: Polis Kelantan menahan dua lelaki yang menawarkan pinjaman wang tanpa lesen menerusi Op Vulture, kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 29 dan 39 tahun ditahan di dua lokasi berasingan di sini, bermula 10 pagi sehingga 4 petang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada 10 pagi kelmarin, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menahan sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kelocor di sini.
"Polis menahan seorang suspek berusia 39 tahun dan merampas sebuah telefon bimbit dan satu kad Sim disyaki digunakan untuk aktiviti perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.
"Susulan daripada tangkapan pertama, kira-kira 4 petang hari sama, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Koperasi Jalan Long Yunus di sini bersama telefon bimbit dan kad Sim," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen sejak 2019, yang membabitkan mangsa atau peminjam di Kota Bharu dan Pasir Mas.
"Rampasan dua telefon bimbit sudah dibuat dan ia dikenal pasti digunakan bagi tujuan memberi pinjaman tanpa lesen kepada orang awam.
"Polis menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dan tidak terjebak dengan pinjaman wang tanpa lesen kerana akan memberikan kesan yang buruk kepada peminjam, keluarga dan orang sekeliling peminjam.
"Polis Kelantan juga kini dalam gerak kerja menggempur sindiket along secara habis-habisan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-wang-tanpa-lesen |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|