|
Naemah (kiri) dan Che Ibrahim (dua kiri ) menyampaikan sumbangan zakat di Masjid Ibrahim Gua Musang. NSTP / Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Pemberian zakat kepada keluarga asnaf dapat meringankan beban mereka membuat persiapan bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Warga emas, Rohani Awang, 63, yang tiada pendapatan tetap, berkata sumbangan RM200 yang diterimanya itu sangat besar maknanya buat dia yang sebelum ini tidak merancang membeli baju raya kerana mahu berjimat.
"Namun, saya bersyukur dan gembira menerima zakat daripada Hentian Gua Musang, dapatlah membeli baju raya untuk sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya ditemui di Masjid Ibrahim, Hentian Gua Musang, di sini.
Majlis penyerahan zakat itu dibuat Pengerusi Eksekutif GM Station Sdn Bhd, Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Urusannya, Naemah Ya'akob. GM Station adalah syarikat yang menguruskan operasi Hentian Gua Musang.
Ibu tunggal, Hayati Yahya, 41, pula berkata ini tahun ketiga dia menerima sumbangan zakat daripada Hentian Gua Musang yang banyak membantu meringankan bebannya.
"Sebagai ibu tunggal yang menjaga tiga anak, semua persiapan menyambut Aidilfitri menjadi tanggungjawab saya sepenuhnya. Dengan keadaan ekonomi sekarang, sumbangan ini sangat membantu keluarga kami. Duit ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan perayaan anak saya," katanya.
Sementara itu, Che Ibrahim berkata, tahun ini adalah tahun ke 12 pengagihan zakat dilakukan syarikatnya kepada penduduk sekitar daerah ini.
"Ini ada program tahunan kami untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di daerah ini.
"Setiap tahun seramai 300 penerima daripada keluarga asnaf yang layak dipilih untuk menerima zakat. Saya harap dengan pemberian ini ia dapat meringankan beban mereka menyambut perayaan nanti," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... guna-beli-baju-raya |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|