|
AZEEM selepas ini akan berehat untuk menghormati bulan Ramadan sebelum meneruskan misi memburu tempat ke Olimpik, Paris. FOTO ASYRAF HAMZAH
Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang memulakan kempen pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 meraih pingat gangsa di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta, Amerika Syarikat.
Atlet kelahiran Perak yang kini berpangkalan di AS itu merekodkan catatan masa 10.38 saat (s) tewas kepada juara kejohanan dalam dewan SEC, Kanyinsola Ajayi yang melepasi garisan penamat dengan catatan 10.21s.
Manakala pingat perak dimenangi Makanakaishe Charamba dengan catatan masa 10.28s.
Biarpun catatan 10.38s masih jauh daripada masa kelayakan ke Olimpik Paris iaitu 10s, ia dilihat satu permulaan positif buat Azeem yang kini memburu tempat ke Paris secara merit.
Ia adalah pertandingan di luar dewan pertama yang disertainya tahun ini.
Pelajar Universiti Auburn di Alabama, AS itu selepas ini akan berehat untuk menghormati bulan Ramadan sebelum meneruskan misi memburu tempat ke Olimpik, Paris.
Katanya, dia akan berehat selepas ini dan akan kembali menyertai kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.
Walaupun terlepas empat kejohanan pada bulan Ramadan ini namun pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh kejohanan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun depan.
Sekiranya gagal melepasi catatan masa secara merit iaitu 10s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi perkiraan ranking. Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu perlu menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik dunia yang mana dia kini berkedudukan di ranking ke-38.
Kali terakhir wakil negara beraksi di pentas Olimpik adalah melalui Watson Nyambek pada edisi 2000 di Sydney, Australia dan jika berjaya, Azeem berpeluang merekodkan sejarah baharu arena olahraga negara sebagai penyambung legasi meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... h-gangsa-di-atlanta |
|