View: 7827|Reply: 0
|
Kos anjur Liga M cecah RM50 juta
[Copy link]
|
|
Stuart mengesahkan kos anjur Liga M meningkat musim ini.
KUALA LUMPUR: Kos penganjuran Liga Malaysia (Liga M) bukanlah satu jumlah yang kecil selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendedahkan pihaknya membelanjakan hampir RM50 juta untuk memastikan saingan tempatan berlangsung dengan lancar.
Perkembangan itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam yang menjelaskan kos operasi bagi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 yang akan bermula pada Mei ini dijangka sedikit bertambah susulan pelaksanaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Malah, Stuart turut memaklumkan kos keseluruhan operasi itu tidak jauh berbeza berbanding musim lalu namun mengakui peningkatan kos yang perlu ditanggung menyebabkan mereka perlu mencari lebih banyak dana untuk memastikan kelancaran operasi.
"Jika dilihat secara keseluruhan kos operasi termasuk dengan pengagihan hak penyiaran (untuk setiap pasukan) dalam tempoh setahun, kosnya boleh mencecah RM50 juta.
"Kita jangkakan tahun ini kosnya boleh dikatakan agak tinggi berbanding musim lalu kerana kita mula menggunakan VAR dan itu juga mencecah jutaan ringgit," katanya.
Sebagai rekod, kos operasi liga bagi musim ini dijangka meningkat selepas pelaksanaan VAR yang akan bermula bagi musim ini menelan kos sebanyak RM9.7 juta.
Stuart sebelum ini dilaporkan berkata jumlah terbabit merangkumi kos penyediaan bagi tahun pertama dengan badan pengendali liga itu bakal menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di stadium pada hari perlawanan.
Katanya, pendekatan itu bakal menelan belanja sehingga tiga kali berbanding pelaksanaan biasa namun ia disifatkan sebagai langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan seperti kekuatan internet dan penyediaan infrastruktur di stadium.
https://www.bharian.com.my/sukan ... a-m-cecah-rm50-juta |
|
|
|
|
|
|
| |
|