|
PENJAGA gol skuad kebangsaan Suhaimi Husin. -FOTO FAM
Kuala Lumpur: Penjaga gol skuad kebangsaan Suhaimi Husin tidak lagi mahu hanya memanaskan bangku simpanan apabila meletakkan sasaran untuk berada dalam kesebelasan utama berdepan Oman dalam kempen kelayakan Piala Asia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac depan.
Menyedari peluang terbabit agak sukar memandangkan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sering menjadi pilihan utama, namun Suhaimi tetap akan buktikan kemampuan kepada barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
Suhaimi yang juga penjaga gol Terengganu FC berkata, dia menyerahkan barisan kejurulatihan sama ada dia layak diturunkan pada perlawanan terbabit atau sebaliknya.
"Terpulang pada jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon untuk memilih saya bagi mengisi posisi penjaga gol utama negara.
"Saya sememangnya menyimpan hasrat untuk berada dalam kesebelasan utama namun segalanya terpulang pada jurulatih," katanya kepada media sebelum sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.
Selain itu, Suhaimi berkata, barisan pemain Harimau Malaya sudah memiliki pengalaman berlatih dan menghadapi perlawanan ketika Ramadan.
"Sebelum ini ada perlawanan dalam bulan puasa juga, jadi kami sudah biasa benda itu. Semua pemain akan rasa benda ini, memang lain sikit (berlatih ketika Ramadan).
"Pasukan TFC sudah sebulan berlatih dan setakat ini tahap kecergasan saya pun dalam 50 peratus," katanya.
Suhaimi sebelum ini pernah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan, namun dia tidak tersenarai dalam skuad ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.
Kali ini, Suhaimi akan bersaing bersama penjaga gol nombor satu negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ampas-posisi-syihan |
|