|
SKUAD Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 semalam. -FOTO FAM
Kuala Lumpur: Nampak saja mudah namun pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon mengakui bahawa pasukannya mungkin berdepan situasi sukar pada aksi menentang Oman dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.
Hal ini kerana, beliau bimbang barisan anak buahnya 'lemau' berikutan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum lagi bermula dan sebahagian besar pemain tidak mendapat 'match fitness' dalam aksi kompetitif selepas kembali dari tugasan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.
Malah, reputasi yang dimiliki Oman di kedudukan 80 dunia turut memberi cabaran besar selain perlawanan pula berlangsung di bulan Ramadan.
Walaupun bakal menghadapi situasi sukar, pengendali dari Korea Selatan itu berterima kasih kepada kelab kerana sudi melepaskan pemain lebih awal untuk menyertai latihan pusat walaupun kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi aksi kelayakan itu hanya bermula pada 18 hingga 26 Mac depan.
"Situasi tidak bagus, seperti kita tahu liga berhenti sejak Disember dan (musim baharu) akan bermula Mei. Jadi ia membuatkan kami dalam kesukaran, pemain harus bermain, setiap minggu harus beraksi.
"Kami memiliki perlawanan yang penting pada Mac (bulan ini) iaitu kelayakan Piala Dunia, tetapi kita tiada saingan liga. Selepas Piala Asia hingga sekarang, tiada perlawanan dan beberapa kelab belum mula lagi pra musim.
"Jadi apa maksudnya? Secara fizikal dan tahap kecergasan dalam perlawanan kita kurang, aksi tempat lawan dengan masa berbeza dan berlangsung pada Ramadan. Kami sukar untuk menemui perkara positif sekarang, tetapi ini situasi yang kami perlu hadapi," katanya.
Berdasarkan situasi yang terpaksa dialami skuad negara dan cabaran besar menentang Oman, ia memberi bayangan bahawa penyokong Harimau Malaya tidak boleh meletakkan harapan terlampau tinggi.
Selain itu, Pan-gon menjelaskan barisan kejurulatihan akan berusaha sebaik mungkin untuk membuat perancangan dalam usaha memastikan keputusan positif dapat diraih Harimau Malaya.
"Apabila melawan pasukan kelompok 80 dunia, ia tahap berbeza yang perlu dihadapi dan ini kejohanan yang menarik untuk bersaing dengan pasukan 80 dunia.
"Kami perlukan motivasi, tetapi selain itu kami juga perlu bijak. Jika kita terlalu menekan pemain, ia boleh mendatangkan kecederaan dan kalau tidak terlalu menekan, kita akan kurang dari segi kecergasan.
"Jadinya, kami perlu bijak dan perancangan terbaik diperlukan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi dua perlawanan itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ertukar-jadi-kucing |
|