|
TNB bakal membuat perhitungan kali ketiga menentang THT pada aksi Piala TNB selepas mereka mengalami kekalahan pada musim lalu.
TENAGA Nasional Berhad (TNB) semakin hampir untuk merealisasikan cita-cita merangkul gelaran trebel buat kali pertama menjelang aksi final Piala TNB menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.
Selepas meraih gelaran berganda musim ini dengan memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL), TNB terus bernafsu untuk melengkapkan musim gemilang mereka dengan menjulang Piala TNB.
Kudrat penyerang TNB, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pastinya ditagih pasukan itu bagi merobek pintu gol THT berdasarkan sentuhan penyudah yang dimiliki dan ia terbukti menerusi 31 jaringan yang dilakukan setakat ini.
Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menjelaskan, beliau sentiasa memberi penekanan kepada pemain-pemainnya untuk sentiasa memanfaatkan setiap peluang yang ada bagi menjaringkan gol.
“Sebahagian besar pemain sudah biasa bermain untuk pasukan negara, jadi perkara yang paling penting adalah menjaringkan gol. Bagi saya, ia satu perkara jangka panjang kerana mereka akan pergi ke pasukan negara sebaik sahaja saingan liga berakhir.
“Mengenai Azrai, sejak tahun lepas lagi dia sudah menjaringkan 40 gol. Bagi saya, dia adalah pemain yang sangat baik selepas Faizal (Saari). Mungkin masih banyak perlu dipelajari, namun bagi saya dia adalah mesin gol,” katanya pada sidang akhbar perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional semalam.
Untuk rekod, ini adalah final ketiga berturut-turut yang menemukan kedua-dua pasukan itu dalam saingan Piala TNB dengan pertemuan musim lalu memihak kepada THT menerusi kemenangan 2-1.
Sementara itu, kapten THT, Mohd. Fitri Saari berkata, pasukan dari Pantai Timur itu berhasrat untuk mempertahankan Piala TNB, namun sedar bahawa mereka akan turun selaku ‘underdogs’ pada aksi final nanti.
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... b-robek-gawang-tht/ |
|