|
NIK YUSAIMI (tiga dari kiri) menunjukan rampasan alat mainan seks pada sidang akhbar di Kompleks KDN Setia Tropika, Johor Bahru hari ini. Foto oleh BAAZLAN IBRAHIM/KOSMO!
JOHOR BAHRU – Tindakan licik pemilik perniagaan berselindung disebalik premis kosmetik dan kesihatan untuk menjual pelbagai jenis alat mainan seks secara terbuka terbongkar susulan empat serbuan dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di empat buah negeri tahun ini.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN), Nik Yusaimi Yussof berkata, hasil serbuan yang dijalankan pihaknya bermula 18 Januari sehingga 6 Februari lalu itu berjaya merampas 2,295 unit alat mainan seks bernilai RM70,000.
Ujarnya, rampasan itu adalah hasil daripada empat operasi yang dijalankan di Johor, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang.
“Serbuan pertama tahun ini dilakukan di permis jualan di dalam pusat beli-belah di Kuching, Sarawak dan rampasan sebanyak 135 unit bernilai RM10,890.50.
“Rampasan kedua pula adalah hasil serbuan dilakukan di sebuah stor di Masai, Johor Bahru sebanyak 2,012 unit bernilai RM37,350,” katanya dalam sidang akbar di Kompleks KDN Setia Tropika, di sini hari ini.
Nik Yusaimi berkata, manakala serbuan ketiga dan keempat pula dilakukan di Bayan Lepas, Pulau Pinang (102 unit) dan Ipoh, Perak (46 unit) dengan nilai rampasan masing-masing RM15,732 serta RM6,050.
Ujarnya, dalam serbuan terbabit empat individu termasuk seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan merupakan pemilik perniagaan bagi bagi membantu siasatan.
Katanya, alat mainan seks tersebut disyaki diimport dari China untuk memenuhi pasaran tempatan.
Beliau menambah, tindakan penguatkuasaan terhadap alat mainan seks itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan dibawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
“Alat mainan seks adalah dilarang di negara ini kerana berlawanan dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia.
“Penjualan alat mainan seks ini dikesan semakin meningkat bukan sahaja dalam talian tetapi turut dijual secara terbuka di premis perniagaan yang dijual serendah RM50 hingga RM300,”katanya.
Untuk rekod, sepanjang tahun lalu, PK KDN telah merampas pelbagai jenis alat mainan seks dengan nilai rampasan keseluruhan RM1.3 juta.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... s-bernilai-rm70000/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|